Berbilion dana SRC tak dilaburkan dalam sektor tenaga - Saksi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada satu pun dana daripada dana RM4 bilion SRC International dilaburkan dalam sektor sumber dan tenaga.

Pakar pemulihan aset, Angela Barkhouse memberi keterangan bahawa dana SRC telah dipindahkan melalui beberapa entiti luar pesisir untuk mengelirukan pergerakan wang yang diselewengkan daripada firma milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Ketika perbicaraan berhubung saman SRC berjumlah AS$1.18 bilion (RM5.5 bilion) terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, pakar yang berpangkalan di Pulau Cayman itu memberi keterangan berkaitan pemindahan dana SRC kepada entiti luar pesisir antara 2011 dan 2014.

Pakar kelahiran Britain itu yang memberi keterangan melalui Zoom berkata antara entiti tersebut ialah Cistenique Investment Fund BV (Cistenique), Enterprise Emerging Market Funds BV (Emerging) dan Pacific Rim Global Growth Limited.

“Mereka dikatakan memegang portfolio pelaburan yang sah dan menjadi dana pelaburan bebas.

“Tujuan sebenar mereka adalah untuk beroperasi sebagai saluran, direka untuk membolehkan wang disalurkan kepada pihak ketiga sambil memberikan gambaran yang munasabah tetapi palsu bahawa dana yang diselewengkan telah 'dilaburkan'.

"Mereka tidak menggunakan wang yang diterima daripada SRC BVI untuk melabur dalam portfolio pelaburan yang sah dan sebaliknya memindahkan dana kepada pihak ketiga sejurus selepas penerimaan, atas arahan," kata Barkhouse kepada hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Dia berkata tiada satu pun daripada dana yang dipindahkan daripada akaun SRC BVI BSI digunakan untuk memastikan "bekalan jangka panjang tenaga dan sumber asli (selain gas dan minyak) untuk Malaysia".

Barkhouse menambah bahawa dia adalah penyelesai (liquidator) yang dilantik untuk 13 entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan perkara itu.

Entiti terbabit ialah SRC International (Malaysia) Limited, SRC Strategic Resources Limited, Bright Oriande Limited, Affinity Equity International Partners Limited, Asia Momentum Fund SPC Limited, Muraset Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited (Blackstone), Pacific Rim Global Growth Limited, Aabar Investments PJS Limited, Aabar International Investments PJS Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited dan Platinum Global Luxury Services.

'Syarikat cangkerang'

Dia berkata pemeriksaannya terhadap bukti dokumen entiti luar pesisir tertentu yang dikaitkan dengan aliran wang SRC International - seperti Good Star Limited - mendapati ia adalah “syarikat cangkerang (shell company) yang tidak menjalankan perniagaan yang sah, selain mencuci dana yang diselewengkan daripada 1MDB dan SRC International”.

Sebelum dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc, SRC ialah anak syarikat dana kekayaan negara yang bermasalah, 1MDB.

MOF Inc juga memiliki 1MDB sepenuhnya.

Saksi itu memberi keterangan bahawa daripada jumlah AS$506.9 juta yang diterima oleh Blackstone daripada Cistenique and Enterprise, sebanyak AS$120 juta dimasukkan ke akaun bank Najib di Malaysia dengan nombor akhir 694.

Dia berkata sebanyak AS$82,000 berasingan diberikan kepada Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Barkhouse berkata bahawa penemuannya adalah berdasarkan dokumen yang diperoleh semasa bertindak sebagai penyelesai (liquidator) untuk banyak entiti luar pesisir berkaitan SRC, yang membantunya menjejaki kes pengubahan wang haram itu.

Saksi itu tidak bersetuju dengan peguam defendan bahawa adalah di luar skop tugasnya untuk memastikan sama ada terdapat penyelewengan dana daripada SRC yang berpangkalan di Malaysia.

Bagaimanapun, dia bersetuju dengan Harvinderjit bahawa dia tidak pernah bertemu Najib.

Perbicaraan di hadapan Fairuz bersambung petang ini.

[Baca berita penuh]

© Mkini Dotcom Sdn Bhd