Adendum Najib: Anwar tak boleh kata tak tahu - Aliran

Sebuah kumpulan hak asasi manusia hari ini tampil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk berterus terang berhubung kewujudan "titah adendum" agar Najib Razak menghabiskan hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Menurut Aliran, pentadbiran Anwar diwakili dalam Lembaga Pengampunan. Justeru, dia tidak sepatutnya tidak tahu mengenai perkara itu.

“Pentadbiran ini juga merupakan pihak dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib Razak.

“Oleh itu, PM tidak boleh mengaku tidak tahu atau tidak terlibat dalam proses tersebut,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi

Pada 17 April lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib berhubung kewujudan titah adendum (tambahan) agar dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Presiden Umno itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Zahid mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum tersebut yang bertarikh 29 Januari.

Bagaimanapun, Zafrul kemudiannya mendakwa terdapat "kesilapan fakta" dalam afidavit Zahid dan menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit untuk menangani perkara itu.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Pada 21 April, Anwar berkata kerajaan tidak akan mempersoalkan kuasa bekas Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan mengenai penahanan Najib.

“Pendirian kami jelas bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam Lembaga Pengampunan, keputusan Yang di-Pertuan Agong, adalah muktamad.

“Sejak Merdeka sehingga hari ini, tiada tindakan kerajaan yang bertentangan dengan peranan dan kuasa Raja-raja Melayu, dan ini harus kita kekalkan.

“Mereka yang tidak memahami keputusan itu, tidak layak menjadi pengulas politik,” kata Anwar.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pula berkata Anwar merupakan perdana menteri yang "bodoh" jika dia tidak tahu berkenaan perkara itu.

Mengulas lanjut, Aliran melahirkan rasa terkejut dan kecewa terhadap adendum yang dikatakan, hanya muncul dua bulan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Ketiadaan ketelusan dan kejujuran pada semua peringkat membuatkan semangat madani terjejas.

“Kerajaan harus ingat bahawa pada akhirnya ia bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kami mendesak agar tidak ada preseden baru yang dibentuk yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen negara kepada pemerintahan berdasarkan undang-undang.

“Kami menyeru kerajaan untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku untuk makluman semua pihak yang risau mengenai perkembangan di Malaysia," tambahnya.

Najib Razak

Awal tahun ini, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh daripada hukuman penjara Najib dalam kes SRC International kepada enam tahun.

Ia juga mengurangkan jumlah denda yang dikenakan ke atasnya daripada RM210 juta kepada RM50 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd