Lagi peneroka estet di KKB gesa k'jaan selesaikan isu perumahan 26 tahun

PRK KKB | Kira-kira 50 pengundi dari Ladang Sungai Belata (Belata River) berkumpul di Kuala Kubu Bharu hari ini bagi menggesa kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelesaikan isu penempatan semula penduduk estet yang tidak dapat diselesaikan lebih 26 tahun.

Timbalan Presiden PSM, S Arutchelvan berkata seramai 64 bekas pekerja ladang itu masih tidak mendapat rumah walaupun perjanjian jual beli telah ditandatangani pada tahun 2001.

"Isu ini berlarutan sejak tahun 1994 apabila pekerja ladang ini mendapat notis pemberhentian kerja. Pada tahun 2001, satu perjanjian jual beli (S&P) telah ditandatangani antara 64 bekas pekerja dan Syarikat Lembah Beringin Sdn Bhd bagi tawaran rumah kos rendah.

"Tapi pada 2003 Lembah Beringin Sdn Bhd telah bankrap. Dan pada 2005 syarikat Land & General Bhd iaitu syarikat induk Lembah Beringin Sdn Bhd berjanji akan memberikan lot banglo kepada 64 bekas pekerja ini.

"Sehingga kini tiada banyak perkembangan. Kini sudah ada dua tanah kepada mereka. Dah tandatangan S&P, tapi tiada pihak mampu cuba menyelesaikan. Kami harap kerajaan campur tangan menyelesaikan," katanya pada sidang media, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Menurutnya, ramai bekas pekerja itu kini tiada kerja dan berada dalam kategori B40 selain tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman bank untuk membina rumah.

Terdahulu, calon PRM Hafizah Zainudin dan calon Bebas Nyau Ke Xin turut hadir dalam sidang media itu.

Nyau dalam ucapan berkata dia akan mencuba sedaya upaya menyelesaikan isu pembinaan rumah ini sekiranya menang dalam PRK ini.

Sementara itu, Hafizah berkata jika dia menang dia akan bekerja sama dengan kerajaan negeri menyelesaikan isu tersebut.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

© Mkini Dotcom Sdn Bhd