Mahkamah Persekutuan tolak permohonan rayuan Apandi

Mohamed Apandi Ali gagal mendapatkan kebenaran mahkamah tertinggi negara ini untuk meneruskan rayuannya dalam saman fitnah terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang, berkaitan skandal 1MDB.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pagi ini sebulat suara menolak permohonan bekas peguam negara terbabit.

Dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dulu menolak saman RM10 juta Apandi berhubung tulisan Lim yang disiarkan Malaysiakini pada 2019 bertajuk Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity.

Apandi kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan dan tahun lalu hakim di situ mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dengan menyatakan bahawa kenyataan Lim dilindungi oleh justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Menurut Apandi tulisan Lim itu antara lain membayangkan bahawa dia terlibat dalam skandal 1MDB, tidak bermoral dan tidak berintegriti, tidak beretika, dan menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara antara 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Bercakap bagi pihak semua hakim, Tengku Maimun berkata panel itu mendapati keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini dibuat berdasarkan penilaian bukti dan prinsip undang-undang.

Justeru katanya tidak ada sebarang isu yang perlukan hujah lebih lanjut di Mahkamah Pesekutuan.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan Apandi ialah P Nallini dan Abu Bakar Jais.

Apandi diwakili peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam, manakala Sangeet Kaur Deo bertindak bagi pihak Lim.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

© Mkini Dotcom Sdn Bhd