Ahli politik Bangladesh: Nyawa saya terancam jika dihantar pulang

Ahli politik pembangkang Bangladesh MA Quayum berkata nyawa dan keselamatannya dalam bahaya jika dia dihantar pulang ke negara asalnya.

Quayum yang kini menjadi pelarian berkata demikian dalam afidavitnya untuk menyokong permohonannya bagi mendapatkan perintah larangan ke atas menteri dalam negeri dan dua pihak lagi daripada menghantarnya pulang.

Sebelum ini dia turut membuat permohonan habeas corpus - dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur pada 3 Julai ini - bagi mencabar apa yang didakwanya sebagai penahanan salah oleh imigresen. Dia bagaimanapun telah dibebaskan buat sementara.

"Saya ingin menegaskan di sini sekiranya saya dihantar pulang ke Bangladesh, nyawa dan keselamatan saya akan terancam dengan teruk kerana saya merupakan seorang ketua ahli politik pembangkang dari BNP, terutama dalam konteks politik Bangladesh yang sedang bergejolak buat masa ini.

"Saya sesungguhnya menyatakan bahawa dari 1981 sehingga kini, penganiayaan politik terhadap ahli-ahli politik dari parti pembangkang telah berlaku secara berterusan.

"Terutama dari akhir 2008 sehingga kini, sejak Parti Awami League (AL) menjadi kerajaan Bangladesh, terdapat banyak ahli politik serta aktivis-aktivis yang menentang Kerajaan AL telah ditangkap dan dihilangkan," katanya dalam afidavit yang dilihat Malaysiakini.

Dia juga mendakwa penindasan politik yang dilakukan kerajaan Bangladesh terhadapnya bermula sejak dia pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum iaitu pada 2008, dengan 60 kes telah difailkan oleh kerajaan terhadapnya.

Sejak akhir 2008, katanya lagi, untuk menjatuhkan BNP dan dirinya selaku pemimpin pembangkang, kerajaan AL bukan saja memfailkan kes bermotifkan politik terhadapnya, malah pihak berkuasa sentiasa mengganggu keluarganya.

"Terdapat beberapa kali di mana pihak penguatkuasa telah membuat serbuan di rumah saya dan saya bersama keluarga saya terpaksa meninggal rumah dalam tengah malam.

"Saya sesungguhnya menyatakan apabila kerajaan AL mengambil tindakan bagi membungkam suara-suara yang bertentangan dengan kerajaan, saya dapati saya telah menjadi sasaran mereka.

"Memandangkan penganiayaan politik oleh kerajaan AL berlaku secara berterusan dan semakin agresif, pada awal 2015, demi keselamatan saya dan keluarga, saya

terpaksa meninggalkan negara asal sendiri," katanya lagi.

Pendengaran semakan kehakiman ditangguh

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Quayum, Edmund Bon berkata permohonan semakan kehakiman yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok, telah ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Quayum telah menjadi pelarian di Malaysia sejak 2015 menerusi program Malaysia My Second Home.

Namun pada 12 Januari lalu, dia ditahan dalam satu operasi bersama polis dan badan perisikan Bangladesh di kediamannya di Ampang, Selangor.

NGO hak asasi manusia Suaram sebelum ini mendakwa permintaan untuk menahan Quayum adalah sebahagian daripada tindakan keras kerajaan Bangladesh terhadap pembangkang.

Salinan semakan kehakiman telah diserahkan kepada menteri dan dua lagi responden, iaitu ketua pengarah imigresen dan kerajaan Malaysia.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd