Bekas pegawai AG rayu saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown

Seorang bekas ketua sekretariat di Jabatan Peguam Negara (AGC) hadir di Mahkamah Rayuan dalam saman fitnahnya terhadap pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Peguam V Mabel Muthayyah dari firma guaman David Gurupatham & Koay memfailkan notis rayuan bertarikh semalam, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mei yang membatalkan saman sivilnya atas alasan teknikal.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, peguam Rewcastle-Brown, Guok Ngek Seong mengesahkan rayuan telah difailkan oleh pasukan guaman plaintif.

Dia berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan balas terhadap keputusan pada 2 Mei itu.

Mabel merayu keputusan mahkamah menolak saman fitnah atas alasan teknikal, manakala Rewcastle-Brown merayu keputusan mahkamah sivil itu yang memutuskan jika bukan atas sebab teknikal, mahkamah mendapati pemberi maklumat tersebut bertanggungjawab atas fitnah.

Pada 2 Mei lalu, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membatalkan tindakan sivil oleh hakim Mahkamah Sesyen yang telah bersara ke atas tiga artikel, salah satunya adalah artikel Sarawak Report pada 2015 berjudul “How AG's Office connived to prevent a second postmortem on Kevin Morais - Exclusive exposé” (Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk menghalang bedah siasat kedua ke atas Kevin Morais - Pendedahan Eksklusif).

Mahkamah sivil membenarkan bantahan teknikal pihak defendan pada minit akhir kes saman itu.

Pesuruhjaya kehakiman berkata plaintif gagal menterjemah dua daripada tiga artikel yang dipersoalkan ke dalam Bahasa Malaysia, yang menjadi sebahagian syarat untuk pernyataan tuntutan pindaan saman itu.

Bagaimanapun, Mohzanuddin berkata jika bukan kerana bantahan teknikal ini, mahkamah sivil sebaliknya akan membuat keputusan yang memihak kepada Mabel terhadap Rewcastle-Brown dan memerintahkan penulis itu membayar ganti rugi RM1 juta.

Pada Julai 2019, Malaysiakini melaporkan Mabel memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung artikel disiarkan portal pemberi maklumat itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Rewcastle-Brown bergantung pada justifikasi dan keistimewaan yang layak untuk menentang saman sivil berkenaan.

Mayat Morais ditemui dalam tong dram selepas dia diculik dari keretanya dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.

Pada Julai 2020, mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang bekas doktor tentera dan lima rakan sejenayahnya setelah didapati bersalah atas pembunuhan Morais.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka pada Mac tahun ini.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd