Individu papar gambar Agong di KKB didakwa semula esok

Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu awal bulan ini akan dihadapkan ke mahkamah majistret esok untuk didakwa semula.

Ini susulan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap P Ramasamy selepas mendapati pengakuan bersalahnya sebelum ini tidak jelas kerana tidak memahami sifat dan akibat kesalahan itu.

Peguam Rajesh Nagarajan, 66, mengesahkan anak guamnya akan dihadapkan semula ke mahkamah majistret esok.

"Ramasamy didakwa semula esok 9 pagi di Mahkamah (Majistret) KKB," kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Wendy Ooi Su Ghee membenarkan permohonan semakan jenayah oleh Ramasamy, dan memerintahkan pertuduhan dibacakan semula kepada tertuduh supaya dia boleh merekodkan pengakuannya semula.

Pada 6 Mei lalu, Ramasamy dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

Majistret Siti Fatimah Talib menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berusia 66 tahun itu mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah.

Dia tidak diwakili peguam ketika itu.

Mahkamah majistret memerintahkan Ramasamy yang bekerja sendiri menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 4 Mei, seterusnya memerintahkan dia menjalani hukuman penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda di sekitar Taman Bukit Bunga dekat Hulu Selangor pada 5.40 petang, 4 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana niat jahat, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Ramasamy telah memohon maaf kepada mahkamah dan merayu hukuman lebih ringan, dengan menyatakan bahawa dia tidak menyedari bahawa tindakannya salah.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd