Tuduhan rasuah: Dr M kata dirinya bersih, tiada nak disembunyikan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dirinya bersih daripada rasuah walaupun amalan itu berlaku semasa di memegang jawatan itu.

Bercakap kepada CNBC, ahli politik berusia 98 tahun itu berkata dia juga memastikan ahli keluarganya tidak terlibat dalam perniagaan berkaitan kerajaan agar tidak dituduh melakukan nepotisme.

Mahathir berkata mereka yang menuduhnya melakukan rasuah tidak dapat membuktikan bahawa dia telah mencuri "walaupun satu sen".

Ditanya sama ada dia dan anak-anaknya akan bekerjasama dengan SPRM dan mengisytiharkan harta mereka, Mahathir menjawab: “Ya, kita perlu. Kerana undang-undang mengatakan bahawa apabila SPRM menuntut anda membuat kenyataan (pengisytiharan), anda perlu membuat penyata (pengisytiharan) aset anda.”

"Jika tidak, anda boleh didakwa atau dipenjarakan," tambahnya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata SPRM tidak meminta dia mengisytiharkan hartanya, sebaliknya hanya meminta dua anak lelakinya, Mokhzani dan Mirzan berbuat demikian.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata adalah satu tugas yang sukar untuk mengisytiharkan aset yang telah menjangkau lebih empat dekad.

“Tetapi mereka tidak meminta saya mengisytiharkan harta saya. Mereka (SPRM) kata mereka sedang menyiasat (saya) tetapi siasatan itu tidak melibatkan menuntut saya mengisytiharkan harta saya,” katanya lagi.

Mengenai sama ada dia akan mengisytiharkan hartanya jika diminta berbuat demikian, dia menjawab: "Ya, mereka (SPRM) dialu-alukan (untuk bertanya) kerana saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan."

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan bahawa Mahathir sedang disiasat atas dakwaan rasuah.

“Saya tidak berhasrat untuk memperincikan lagi maklumat lanjut berhubung kes itu, tentang apa kesalahan yang dilakukan kesemua mereka.

“Biarkan SPRM meneruskan siasatan terlebih dahulu sehingga saya fikirkan satu masa yang sesuai untuk kita nyatakan hasil dapatan kes siasatan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini SPRM telah memberikan notis kepada Miran dan Mokhzani untuk mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh yang ditetapkan, di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd