Miti akan siasat syarikat semikonduktor M'sia dikenakan sekatan AS

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan melakukan siasatan lanjut susulan tindakan sekatan yang dikenakan oleh Amerikat Syarikat (AS) terhadap sebuah syarikat Malaysia berkaitan semikonduktor.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perkara tersebut perlu dilihat sepenuhnya terlebih dahulu oleh Miti, selaku agensi penyelaras memandangkan syarikat itu antara kira-kira 300 syarikat di dunia yang dikenakan sekatan oleh AS.

“Lebih baik Miti memahami isu itu kalau ada apa-apa atau benar-benar berlaku,” katanya kepada pemberita di sKuala Lumpur hari ini.

Media antarabangsa melaporkan AS telah mengenakan sekatan terhadap kira-kira 300 entiti termasuk firma semikonduktor Malaysia, Jatronics Sdn Bhd kerana didakwa membekalkan tentera Rusia dengan komponen elektronik berkaitan.

Bagaimanapun, katanya beliau difahamkan bahawa syarikat itu bukannya syarikat pengeluar semikonduktor tetapi syarikat perdagangan yang menjual perkakasan berkaitan industri semikonduktor.

“Malaysia adalah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Bagaimanapun, kita mahu mereka menjalankan perniagaan dengan cara yang betul.

“Oleh itu, biar siasatan dijalankan dan kita lihat hasilnya.

“Apa yang penting Malaysia tidak akan bertolak ansur kalau ada apa-apa yang tidak elok dilakukan,” katanya.

\- Bernama

© Mkini Dotcom Sdn Bhd