Hamzah anggap pertuduhan pada anak taktik lapuk PH-BN

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan pendakwaan terbaru ke atas anaknya semalam sebagai salah satu siri perancangan pembunuhan karakter politik.

Dakwa Hamzah, perancangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya sebagai ketua pembangkang setelah usaha kerajaan PH-BN gagal, termasuk melali pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu.

"Ini merupakan taktik lapuk yang memperlihatkan kemandulan kerajaan dalam usaha terdesak mereka menutup mulut para pengkritik dengan menyasarkan pemimpin PN dan ahli keluarga mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan anak Hamzah, Muhammad Faisal, berdepan satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000. Dia mengaku tidak bersalah selepas dituduh.

Faisal, 40, didakwa menerima wang daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.

Kesalahan yang didakwa itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery yang berada di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pada Mac 2018.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Faisal dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan dia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes diselesaikan.

Hakim Rozina Ayub kemudian menetapkan 5 Julai untuk sebutan semula kes tersebut.

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut menegaskan, dia yakin kebenaran akan berpihak kepada mereka nanti.

"Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman," katanya.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd