Pengusiran Bajau Laut dedahkan hipokrasi Madani - Zaid Ibrahim

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membidas pentadbiran Madani berhubung pengusiran Bajau Laut di Sabah, yang menurutnya membuktikan sikap hipokrasi kerajaan.

Dia mengulas laporan mendakwa etnik Bajau Laut di Semporna, Sabah diusir pihak berkuasa dengan rumah atas air yang dihuni mereka dirobohkan dan dibakar.

Zaid Ibrahim

“Kamu mahu lihat sikap hipokrasi Madani? Sila ke Semporna, Sabah dan saksikan pengusiran Bajau Laut.

"Lihat sendiri bagaimana kerajaan berperikemanusiaan ini melayan penduduk tanpa kerakyatan," kata Zaid dalam hantaran di media sosial.

Bajau Laut

Do you want to see evidence of Madani's hypocrisy? Go to Sompoerna Sabah and witness the eviction of the BajauLaut people. See for yourself how this so-called huminaratian govt deals with these stateless people

These boat/water people have lived in this part of…

— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim)

June 13, 2024

NGO Borneo Komrad sebelum ini mendakwa pihak berkuasa membuat operasi pada 4 dan 5 Jun lalu, melibatkan etnik Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, antaranya Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat dan Pulau Sibuan.

Ini diburukkan lagi, apabila pada 10 Jun lalu, dilaporkan kebakaran memusnahkan 15 rumah setinggan ketika perobohan di Kampung Kalansanan, dekat Inanam.

Walaupun pihak berkuasa menafikan menyebabkan kebakaran, Borneo Komrad mempertikaikannya, sambil mendakwa bahawa rumah yang musnah berjumlah 40 dan bukannya 15 seperti dilaporkan.

Menyentuh tentang nasib masyarakat Bajau Laut, Zaid berkata mereka telah menghuni di bahagian timur Sabah sejak berabad-abad, bahkan sebelum Malaysia dibentuk lagi.

Sambil mengakui bahawa ramai daripada mereka tidak berdokumen, dia berkata kerajaan yang bertanggungjawab akan mengiktiraf kepayahan, sejarah dan tradisi mereka.

“Kerajaan perlukan sikap yang lebih tegap terhadap kewarganegaraan dan mengiktiraf mereka.

“Kerajaan yang bertanggungjawab juga akan mengiktiraf cara hidup dan tradisi mereka serta cuba menyerap mereka dalam konteks keperluan hidup moden. Ini terpaksa memberi peluang untuk mereka ke sekolah, walaupun di sekolah terapung.

“Tetapi kerajaan hari ini memberi mereka notis pengusiran. Mana kerajaan mahu mereka pergi? Ke tengah laut?” soal Zaid.

Sehubungan itu, dia menggesa pemimpin Sabah mengambil pendirian bersama tentang cara melayan komuniti Bajau Laut dengan penuh belas kasihan.

Katanya, kerajaan perlu menyerap mereka ke dalam masyarakat dengan bimbingan sewajarnya.

“Mereka mesti dibantu supaya mereka boleh menjadi sebahagian daripada penduduk Sabah.

“Untuk itu, Bajau Laut perlu diiktiraf sebagai rakyat Sabah. Mereka perlu menikmati segala hak dan kemudahan yang dimiliki oleh rakyat Sabah yang lain. Sebagai pemulaan, beri mereka IC (MyKad) biru,” tambah Zaid.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd