ULASAN | Sertai BRICS langkah tepat oleh Malaysia

ULASAN | Selaras dengan perubahan dalam landskap global semasa, langkah Malaysia untuk menganggotai BRICS, sebuah perkumpulan geopolitik terbesar dan paling berpengaruh, sememangnya langkah yang tepat.

Perkumpulan itu diasaskan oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan - yang kemudian membentuk akronim BRICS - namun keanggotaannya terus berkembang dengan pantas apabila banyak negara mencari platform multipolar.

Minggu lepas Thailand mengemukakan permintaan rasminya untuk menyertai perkumpulan ekonomi sedang pesat membangun itu.

Thailand dilaporkan berharap dapat menyertai perkumpulan itu pada sidang kemuncak BRICS seterusnya di Rusia pada Okt ini, yang akan menjadikan ia sebagai negara Asean pertama menganggotainya.

Bagaimanapun penyertaan Malaysia dalam BRICS akan menjadi lebih signifikan memandangkan ia akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun depan.

Melihat kepada pengaruh dan ketokohan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat global, pastinya ia bertambah signifikan lagi.

Negara anggota baru BRICS kini termasuk Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir serta Emiriah Arab Bersatu. Pada minggu lalu Reuters melaorkan, sehingga kini lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk menyertai perkumpulan itu.

Bagaimanapun ada juga pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS ketika kumpulan itu didakwa dipelopori oleh Rusia dan China.

Mereka melihat dua negara terbabit telah mencabar orde dunia yang diterajui AS dan sekutu Baratnya.

Sekatan terhadap China

Walaupun kebimbangan ini boleh difahami, ia bukanlah tepat sepenuhnya.

Contohnya India - yang dianggap ‘rapat’ dengan Barat - sering dilaporkan mempunyai ‘banyak perbezaan’ dengan China namun ia juga mempunyai reputasi untuk melaksanakan dasar-dasar luar negara yang sangat bebas.

Kuala Lumpur telah berulang kali menyatakan bahawa Malaysia tidak akan mengambil sikap berpihak dalam perbalahan di antara AS dan China, bahkan cukup berhati-hati mengendalikan situasi yang sukar itu.

Lagipun Malaysia juga mendapat banyak manfaat daripada perang cip AS-China. Contohnya dengan Pulau Pinang menjadi penerima faedah paling besar.

Negeri itu dilaporkan menarik RM60.1 bilion pelaburan asing pada 2023, lebih besar berbanding gabungan jumlah yang diterima dari 2013 hingga 2020.

Sudah tentu Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan AS ke Malaysia, dan tidak akan melakukan sesuatu yang akan menjejaskan persahabatan berkenaan.

Laporan itu berkata, sekatan yang meluas terhadap teknologi China, terutamanya bagi pembuatan cip, adalah sebab utama yang mengundang tarikan terarah kepada Malaysia yang neutral.

Pada masa yang sama, Malaysia juga sedar bahawa China telah menjadi rakan dagang terbesar negara ini sejak 40 tahun lalu.

Malaysia - seperti negara lain - tidak boleh mengabaikan kenyataan bahawa China memiliki keluaran dalam negara kasar (KDNK) terbesar dalam kalangan negara-negara BRICS.

Apabila digabungkan, blok BRICS sudah mempunyai KDNK lebih besar sedikit daripada AS.

Menurut laporan, BRICS kini menyumbang 37.3 peratus daripada KDNK dunia (atau lebih separuh daripada Kesatuan Eropah pada 14.5 peratus), namun banyak negara anggotanya dilihat semakin kecewa dengan pergantungan terhadap dolar AS.

Penyertaan dalam BRICS pastinya akan meluaskan lagi pasaran dan besar kemungkinan membantu mengurangkan pergantungan berlebihan pada dolar AS untuk urusan perdagangan melalui penggunaan mata wang tempatan.

Bukan siapa cepat dia dapat

Sebagaimana kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kepada Bernama, "ia akan melindungi negara dan rantau ini dengan berkesan daripada perubahan dalam dasar monetari AS dan turun naik mata wang, yang berpotensi meningkatkan kebolehramalan dalam pasaran mata wang dan mengurangkan kos urus niaga bagi pengeksport dan pengimport."

Kemasukan negara anggota baru pastinya memberikan kelebihan kepada BRICS, namun, sebagaimana ASEAN, ia juga berfungsi atas dasar konsensus.

Kemasukan anggota baru adalah berdasarkan konsensus antara negara-negara anggota. Tidak ada kemasukan automatik, dan Malaysia masih perlu berada dalam senarai menunggu.

Antara kriteria pemilihan untuk kategori negara rakan kongsi baru ialah perwakilan yang baik dan hubungan rapat dengan negara anggota BRICS, kedudukan kukuh dalam politik serantau dan antarabangsa serta ekonomi, dan tidak mengenakan sebarang sekatan unilateral kepada negara anggota BRICS.

Ia juga bukan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ sebaliknya keputusan politik pemimpin negara-negara anggota BRICS perlu diutamakan.

Namun apabila melihat kepada kelayakan Malaysia dan ketokohan Anwar, pastinya kita akan diberi pertimbangan yang paling wajar.

\- Bernama

WONG CHUN WAI merupakan Pengerusi Bernama dan menjadi wartawan sejak lebih 40 tahun lalu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd