Polis tangkap lebih 20 individu disyaki penyokong Daesh

Polis telah menangkap sejumlah besar suspek pengganas dalam tindakan tegas di seluruh negara terhadap ahli dan penyokong kumpulan pengganas Daesh.

Menurut sumber, Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman telah menangkap lelaki dan wanita dalam beberapa siri operasi khas yang telah berlangsung sejak pertengahan bulan lalu.

Difahamkan bahawa operasi ini dipertingkatkan selepas serangan pengganas yang mengakibatkan dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian pada 17 Mei di balai polis Ulu Tiram di Johor.

Sumber tersebut enggan mendedahkan jumlah tangkapan yang tepat tetapi memberi petunjuk bahawa lebih daripada 20 lelaki dan wanita telah ditahan setakat ini.

Mereka termasuk beberapa individu yang disyaki ahli sel pengganas dan mempunyai hubungan dengan seorang pembuat bom yang didakwa pihak berkuasa di mahkamah awal bulan ini.

"Semalam, pegawai bahagian anti keganasan telah menangkap lebih ramai suspek. Lebih daripada enam orang.

"Mereka telah ditangkap dalam operasi serentak di beberapa lokasi di seluruh negara, atas kecurigaan terlibat dengan IS dan berpotensi mengancam keselamatan awam.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa individu-individu ini mempunyai kaitan dengan suspek kes Bagan Serai," dakwa seorang sumber yang enggan dikenali.

Malaysiakini telah menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay untuk mendapatkan maklum balas kerana Ketua Polis Negara Razarudin Husain sedang menunaikan haji.

Pada 11 Jun lalu, seorang operator kilang dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen di Taiping, Perak dengan tiga pertuduhan jenayah berkaitan keganasan.

Menurut Free Malaysia Today, antara kesalahan yang didakwa termasuklah membantu IS dengan menyimpan bahan letupan untuk kegiatan kumpulan tersebut.

Dua hari kemudian, pihak berkuasa mendakwa seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan Daesh. Seorang tukang kebun didakwa di Muar kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan tersebut dan menyokong Daesh dan sebelum ini juga telah dipenjarakan dua kali atas kesalahan berkaitan keganasan, menurut laporan New Straits Times.

Lebih ramai akan didakwa

Sumber juga mendakwa bahawa operator kilang dan tukang kebun tersebut mengenali antara satu sama lain dan polis telah menangkap enam individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mereka.

Antara yang ditahan ialah seorang wanita. Mereka ditangkap beberapa minggu lalu untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, semua suspek didakwa terpengaruh dengan ideologi IS dan merancang serangan di beberapa lokasi dalam negara.

Tambahnya, pihak berkuasa merancang untuk mendakwa enam suspek tersebut di mahkamah esok.

"Mereka dijangka didakwa secara berasingan di mahkamah di beberapa negeri.

"Tiga daripada mereka termasuk wanita tersebut akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bharu, manakala selebihnya akan didakwa di Kuala Lumpur, Kuala Kubu Bharu (Selangor), dan Segamat (Johor)," katanya.

Malaysiakini mendapati bahawa pertuduhan yang sedang disiapkan terhadap semua suspek tersebut meliputi kesalahan meminta dan memberi sokongan kepada Daesh, memiliki barangan berkaitan aktiviti keganasan dan memberi sokongan kepada pelaksanaan tindakan pengganas.

Pada 17 Mei lalu, dua anggota polis terbunuh apabila seorang penyerang menyerang balai polis Ulu Tiram.

Pada awal serangan, seorang remaja menggunakan parang untuk melakukan serangan dan membunuh salah seorang anggota polis sebelum mencuri senjata apinya. Dia kemudian berbalas tembakan dengan seorang anggota polis lain. Serangan itu berakhir apabila penyerang tersebut ditembak mati, manakala seorang anggota polis lain cedera parah.

Polis pada mulanya mengesyaki penyerang itu telah dipengaruhi oleh Jemaah Islamiyah, yang mana bapanya adalah bekas ahli, tetapi kemudian dia mendakwa telah diindoktrinasi oleh ideologi Daesh.

Kali terakhir Daesh melakukan serangan di Malaysia adalah pada tahun 2016 apabila suspek ahli kumpulan tersebut meletupkan bom tangan di Movida Bar di Puchong.

Susulan insiden di Ulu Tiram, Bukit Aman telah menyerbu rumah penyerang itu dan menangkap lima ahli keluarganya.

Ahli keluarga, termasuk bapa penyerang, telah didakwa di mahkamah dengan tuduhan menyebarkan ideologi Daesh.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan pakar keselamatan memberi amaran berhubung ancaman yang masih wujud daripada penyokong organisasi pengganas tersebut, walaupun ia tidak lagi mempunyai cengkaman wilayah yang ketara.

© Mkini Dotcom Sdn Bhd